ETOS

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

‘PROGRAM JALINAN KASIH’

 

 

 

 

          FASA 1 : 2007

 

 

Bermula tahun 2007, sesuatu yang menarik mula menjadi amalan warga SEMENKA iaitu melalui ‘Program Jalinan Kasih’. Melalui program ini, waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) formal bermula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Walau bagaimanapun sesi persekolahan tetap bermula pada jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang. Antara jam 7.30 pagi hingga 8.00 pagi pada

setiap hari kecuali hari Ahad dan Rabu dilanjutkan ke jam 8.20 pagi, ‘perkampungan pagi’ pada setiap hari diadakan dan diisi dengan pelbagai aktiviti terancang dan teratur.

 

          Pada hari Ahad, ‘perkampungan pagi’ diisi dengan agenda khas ‘Perhimpunan Rasmi Sekolah’. Majlis perhimpuan ini dikendalikan sepenuhnya oleh pengawas sekolah.Pada hari Isnin, diisi dengan slot ‘English Day’. Amalan ‘Public Speaking’ yang diterapkan dalam slot ‘English Day’ telah meningkatkan keyakinan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang rata-rata terdiri daripada pelajar luar bandar yang sering kali fobia apabila diminta bertutur dalam bahasa Inggeris. Aktiviti ini merupakan usaha yang ditetapkan supaya para pelajar mahir  berbahasa Inggeris dan dapat menguasai semua aspek perhubungan dan pembelajaran.  Selain itu, program ‘Learning Station’ pula merupakan kesinambungan aktiviti ‘English Day’. Ia merupakan projek stesen pembelajaran untuk para pelajar dengan menggunakan sistem mentor. Melalui program ini, para pelajar mencari maklumat dan belajar daripada mentor-

mentor mereka yang terdiri daripada pelajar yang cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris dan guru-guru yang telah dikenal pasti.

 Para mentor yang terlibat akan menjalani latihan daripada guru panitia Bahasa Inggeris yang disediakan pada masa yang telah ditetapkan. Secara  tidak

langsung, para pelajar akan mesra dan rapat dengan mentor mereka. Panitia Bahasa Inggeris yang diterajui oleh En. Nik Bazlan b. Nik Ali selaku Ketua Panitia bertanggungjawab membuat strategi dan mengatur langkah yang sewajarnya agar pelajar tidak berasa jemu untuk mempraktikkan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi. Dalam slot ‘English Day’ juga diperkenalkan aktiviti ‘Three Word A Day’. Di sini, seorang pelajar yang terlibat akan berdiri di atas pentas dan

menghuraikan maksud perkataan tersebut di  hadapan para pelajar lain.

           Pada hari Selasa pula, diisi dengan aktiviti Kokurikulum. Majlis penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar yang telah berjaya mencipta nama dan mengharumkan nama sekolah diraikan pada hari ini. Pada setiap minggu (mengikut jadual yang telah diatur), setiap unit sama ada pasukan pakaian seragam, persatuan dan kelab akan menunjukkan sesuatu yang ‘istimewa dan

unik’ berkaitan dengan unit masing-masing.

 

          Pada hari Rabu, diisi dengan aktiviti kerohanian iaitu Bacaan Yaasin. Memandangkan semua guru dan pelajar adalah beragama Islam, maka aktiviti ini tidak menimbulkan sebarang masalah. Pada setiap hari Rabu awal bulan, Solat Hajat Kubra diadakan bagi menggantikan bacaan Yaasin.

 

          Pengisian aktiviti pada hari Khamis pula tertumpu kepada aspek kerohanian, pembangunan akal dan nilai-nilai moral. Pada waktu ini, pelajar PMR dan SPM akan mengikuti Solat  Hajat berjemaah manakala pelajar lain akan mengikuti sesi percambahan minda.

 

FASA 2 : 2008

 

 

Namun, menjelang tahun 2008, penambahbaikan terhadap ‘Program Jalinan Kasih’ telah dilakukan. Jadual dan pengisian program ini menjadi lebih mantap dan diharapkan berkesan. Pada hari Ahad, ‘Perhimpunan Rasmi Sekolah’ masih dikekalkan. Begitu juga slot ‘English Day’ pada hari  Isnin.Bagi memantapkan lagi slot hari Isnin ini,Info Siber yang disampaikan oleh pengawas ICT telah diadakan.  Cuma, pada hari Selasa diperuntukkan khusus untuk pengisian kejiwaan iaitu melalui slot ‘Bina Insan’ seperti Solat Hajat Kubra, Bacaan Yaasin, Tazkirah dan Santapan Rohani. Semua pengisian ini telah dijadualkan secara  lebih terancang.

 

Sebaliknya, pada hari Rabu, diperuntukkan  untuk ‘Hari Kokurikulum’. Pengisian aktiviti persatuan, kelab dan unit beruniform akan dilaksanakan sebagaimana yang dijadualkan. Pada setiap hari Rabu akhir bulan, satu perhimpunan bulanan kokurikulum akan diadakan. Pada hari Khamis pula, diperuntukkan untuk program peningkatan motivasi dan jati diri melalui slot ‘Motivasi/ Percambahan Minda’. Aktiviti-aktiviti seperti motivasi, pendedahan kepada kaedah-kaedah pembelajaran yang berkesan dan lain-lain aktiviti yang dapat membangunkan motivasi dan keterampilan diri akan dilaksanakan dan dikendalikan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling.

 

          Apa yang jelas, kesediaan guru-guru, para pelajar dan ibu bapa ‘membenarkan’ anak-anak mereka berada selama lapan jam di sekolah bukanlah sesuatu yang mudah terutama di sekolah menengah harian biasa. Pertambahan waktu persekolahan merupakan suatu inovasi yang menuntut komitmen semua pihak terutama dalam kalangan guru. Adalah diharapkan melalui usaha-usaha penambahbaikan dab inovasi yang dirancang serta dilaksanakan ini akan membawa kepada suatu lonjakan mega kecemerlangan di SEMENKA.

           Sekian. Terima kasih.

IMPLIKASI / KESAN  PROGRAM JALINAN KASIH TERHADAP         KEMENJADIAN PELAJAR SEMENKA

 

         Membangunkan Modal Insan adalah teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang bermatlamatkan pemupukan semangat penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penghayatan nilai-nilai murni, moral dan sikap positif di samping pembinaan disiplin diri dalam kalangan pelajar.

 

Menyedari peri pentingnya  pembangunan modal insan warga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok atau akronimnya SEMENKA iaitu   sebuah sekolah harian luar bandar, maka pihak sekolah telah menzahirkan satu program khas demi membangun serta memastikan kecemerlangan warga pelajar yang majoritinya mempunyai tahap pencapaian akademik dan sahsiah tahap sederhana dan rendah.

 

SEMENKA mempunyai seramai 772 orang pelajar. 90% daripadanya adalah pelajar miskin iaitu rata-ratanya sosioekonomi ibu bapa terdiri daripada petani, buruh, dan sebagainya. Para ibu bapa begitu mendambakan ‘sesuatu arus perubahan’ dan menaruh seribu harapan agar pihak sekolah memberi sinaran dalam hidup mereka.  Harapan ini jelas terpancar pada wajah mereka.

 

      Latar belakang sosioekonomi dan pendidikan yang rendah, ditambah lagi dengan keadaan hidup yang serba kekurangan serta sikap dan keutamaan (priority) dalam hidup yang tidak begitu mengutamakan akademik memberi kesedaran dan keazaman kepada pihak pengurusan sekolah untuk merancang dan melaksanakan program-program yang boleh membantu memberi ilmu pengetahuan bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan  dalam bidang akademik tetapi juga dalam pembentukan sahsiah diri. Pendedahan serta bimbingan dalam semua aspek kehidupan sangat penting bukan sahaja untuk memudahkan proses P&P dalam bilik darjah  serta menyelesaikan masalah disiplin di sekolah tetapi juga untuk menyediakan pelajar-pelajar untuk menempuh cabaran dunia tanpa sempadan yang penuh dengan pelbagai kemungkinan selepas tamat persekolahan kelak. Kejutan budaya pelajar-pelajar luar bandar akan dapat dikurangkan sekiranya program-program pembinaan modal insan dilaksanakan dengan berkesan di sekolah.

 

       Perealisasian Program Jalinan Kasih  yang mula dilaksanakan pada tahun 2007  adalah satu cara atau sentuhan yang dikenal pasti mampu mendekati pelajar. Perjumpaan setiap hari bersama pelajar didapati merapatkan hubungan pelajar dengan pentadbir, pelajar dengan warga guru serta pelajar sesama pelajar-pelajar lain. Perhimpunan atau perjumpaan yang berbentuk ilmu ini telah menampakkan kesannya ke atas pelajar SEMENKA. Antaranya ialah :

 

1.    Pelajar Lebih Berdisiplin :

 

a)     Ponteng Sifar :

 

Program Jalinan Kasih memberi banyak ruang untuk menyemai, menanam dan mengukuhkan nilai-nilai murni kepada pelajar. Hal ini nyata membantu menyelesaikan masalah disiplin di sekolah. Hasil permuafakatan dengan ibu bapa, Program/ Kempen Ponteng Sifar dapat dilaksanakan dengan berkesan.  Nama-nama pelajar yang tidak hadir serta bilangan hari tidak hadir diumumkan semasa Perhimpunan Rasmi hari Ahad dan Perhimpunan Motivasi hari Khamis oleh Skuad  Ponteng Sifar. Natijahnya, pelajar tidak lagi ponteng sekolah sesuka hati mereka. Pada tahun ini         peratus kedatangan pelajar ke sekolah amatlah membanggakan. Analisis telah memaparkan angka 98% (Januari), 95% (Februari- proses pertukaran pelajar cemerlang PMR ke sekolah asrama penuh), 95% (Mac- ramai pelajar sakit). Adalah didapati kes ponteng kelas pun amat berkurangan kerana pemantauan yang berkesan serta budaya mengumumkan nama pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di perhimpunan  diiringi oleh surat panggilan ibu bapa ke sekolah membuatkan pelajar berasa sangat malu. Peratus kehadiran ke kelas-kelas tambahan  juga sangat baik.

  

b)    Tiada Lagi  Perbuatan Merosakkan Harta Sekolah :

 

          Selepas satu tahun mendidik dan menanam budaya cinta dan sayang akan sekolah, kini sudah tidak ada lagi aduan pelajar merosakkan harta atau mencuri harta sekolah. Pemupukan budaya penyayang dan cinta akan sekolah sentiasa disebut dan diingati. Kekerapan memberikan tunjuk ajar dan pengiktirafan kepada pelajar jelas mencerminkan kesan positif kepada  pelajar dan juga sekolah. Bilik darjah semakin ceria, sekolah boleh dihiasi dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan untuk faedah pelajar tanpa diganggu atau dikhianati oleh pelajar. Tandas pelajar yang juga dikenali sebagai Hentian Sejenak untuk pelajar lelaki dan perempuan dapat dihiasi dan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan seperti selipar, ‘Air Freshner’ dan sabun cecair. Pelajar sama-sama menjaga kebersihan dan keindahan bilik dan sekolah. Mereka juga semakin mempunyai perasaan bangga terhadap sekolah.       ‘Water Cooler’/Water Fountain untuk minuman pelajar diguna dengan baik dan sopan contohnya menggunakan gelas ketika minum. Cermin tingkap yang sentiasa pecah sebelum ini sudah dijaga dengan rapi. Sekiranya ada      cermin tingkap yang pecah, pelajar dikehendaki membayar ganti rugi dan cermin akan diganti dengan segera..

 

  c.    Budaya Sopan-santun :

 

      Jalinan kasih yang wujud antara pelajar dengan pihak pengurusan dan guru melalui program ini memberi ruang  untuk mengukuhkan Budaya Adab Sopan. Adalah sukar untuk mengubah budaya kasar dan tidak tahu menghormati orang lain kepada budaya yang  mementingkan budi bahasa dan adab sopan serta pandai menghormati orang lain atau orang yang lebih tua.      Pelajar perlu sentiasa dididik dan ditegur agar memberi salam dengan menundukkan/ membongkokkan badan dengan tangan diletakkan di dada. Rasa hormat akan timbul sekiranya pelajar dapat merendahkan diri mereka sambil memberi salam. Amalan ini sudah menjadi kebiasaan bagi 80% pelajar. 20% lagi  perlu sentiasa ditegur. Di sinilah terserlahnya fungsi Perhimpunan Bina Insan, iaitu menyuntik ilmu dan budaya yang bercorak kerohanian/ keagamaan. Alhamdulillah, setakat ini  pelajar semakin ‘jinak’ dan mendengar kata.

 

   d.  Budaya Mengutamakan Permuafakatan dan Kebersihan :

 

       Bermaksud membudayakan amalan bermuafakat dan sentiasa menjaga kebersihan  sekolah terutama  bagi pelajar-pelajar daripada latar belakang keluarga yang tidak mengutamakan nilai-nilai tersebut. Alhamdulillah, semua landskap /taman di kawasan sekolah diusahakan oleh pelajar secara bermuafakat. Bilik darjah dan kawasan sekolah  sudah banyak berubah, semakin bersih dan ceria. Tandas atau Hentian Sejenak pelajar lelaki dan perempuan sudah boleh diiktiraf sebagai Hentian Sejenak Berbintang.

 

 

   e.  Pengukuhan Kefahaman Bahasa Inggeris :

 

      Adalah amat sukar bagi pelajar dari latar belakang sosioekonomi dan pendidikan yang rendah untuk memupuk minat suka membaca dan bertutur dalam  bahasa Inggeris. Pertuturan sesama  pelajar dalam bahasa Inggeris di sekolah juga tidak berlaku. Oleh itu, satu slot  Program Jalinan Kasih dikhaskan untuk mengukuhkan penggunaan bahasa Inggeris. Perhimpunan ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dalam bahasa Inggeris. Program ini memberikan kesan yang positif terutamanya bagi pelajar-pelajar       Tingkatan 1, 2 dan3. Hasilnya keputusan mata pelajaran Bahasa Inggeris PMR 2007 telah meningkat dari 60.0%  Kepada 68.9% manakala keputusan Bahasa Inggeris SPM juga meningkat dari 51.2% kepada 55.7%. Mulai tahun 2008 satu slot English & ICT dimasukkan  sebagai penambahbaikan   kepada program ini. Perhimpunan Bahasa Inggeris yang bersepadu dengan program   Nilam Bahasa Inggeris dan  kelas khas wajib Bahasa Inggeris bagi semua pelajar tingkatan 2, 3, 4, dan 5 pada hujung minggu diharap akan melonjakkan prestasi Bahasa Inggeris serta membantu kecemerlangan mata pelajaran Matematik dan Sains. Matlamat sekolah adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang lebih cemerlang dan berketerampilan dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Insya Allah.

 

f.   Penghayatan Aspek Kerohanian Secara Lebih Berkesan :

 

  Mengikut bancian yang dibuat ke atas pelajar Tingkatan 1 , 95% daripadanya tidak menunaikan solat Subuh dan ramai juga pelajar lain yang tidak mengerjakan solat harian. Begitu juga pelajar-pelajar dari tingkatan 2, 3, 4 dan 5. Pelajar amat perlu didekati dan diberikan pengukuhan dari aspek kerohanian. Pembelajaran agama dalam bilik darjah masih tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Sekali seminggu selain P & P dalam kelas,  program Perhimpunan Bina Insan pada hari Selasa menjadi medan bagi pihak sekolah menjinakkan dan melembutkan hati pelajar. Ceramah/ cerita berunsurkan nasihat/ teladan diselang-selikan dengan bacaan Surah Yaasin dan juga Solat Hajat Kubra. Setiap minggu 30 minit dikhaskan untuk menyemai benih-benih kerohanian kepada pelajar. Kini segalanya sudahpun menampakkan hasil. Pelajar lebih mudah dibentuk, menurut kata/ arahan guru dan mematuhi undang-undang sekolah. Pada tahun 2008, beberapa penambahbaikan telah dilakukan iaitu bacaan Surah Yaasin disertakan penerangan maksud surah tersebut. Seterusnya, Slot Tazkirah akan disusuli dengan Kuiz.

 

  g.  Pelajar Lebih Bersemangat Untuk Belajar :

 

Sesi 30 minit pelajar bersama Kaunselor Sekolah setiap pagi Khamis dalam Perhimpunan Motivasi tidak dapat dinafikan mempunyai kesan positif terhadap pelajar. Perhatian  yang diberikan serta semangat dan tunjuk ajar tentang kaedah pembelajaran dan sebagainya kian  meresap ke dalam jiwa pelajar. Tahap pencapaian  peperiksaan UPSR pelajar yang mendaftar untuk tingkatan satu di SEMENKA adalah sangat rendah (80%- tiada A), paling tinggi 3A. Hal ini kerana kebanyakan pelajar cemerlang disalurkan ke Sekolah Men. Keb. Kg. Chengal (Sek. Rancangan Khas) yang terletak berdekatan dengan SEMENKA. Begitu juga pelajar lepasan PMR.  Namun begitu, walaupun   TOV pelajar rendah tetapi berkat kesungguhan dan keikhlasan warga SEMENKA  dalam mendidik dan membangunkan pelajar melalui program-program yang dirancang dan dilaksanakan,  didapati pelajar SEMENKA mampu cemerlang, mampu membuat kejutan dan mampu mencipta nama. Insya Allah.

 

      Para ibu bapa amat  berpuas hati serta memberikan pujian kepada pihak sekolah kerana berjaya menarik minat anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah. Sekiranya pelajar datang ke sekolah , sentiasa berada dalam kelas semasa P & P berjalan dan mengikut segala arahan guru untuk membuat ‘homework’, pastinya kecemerlangan akan tercapai. Inilah impian  SEMENKA. Program Jalinan Kasih yang mula dilaksanakan pada April tahun 2007 walaupun baru setahun jagung usianya dilaksanakan namun sudahpun menampakkan hasilnya secara perlahan. Adalah diharapkan pada akhir tahun ini,  apabila Program Jalinan Kasih ini digandingkan dengan program Kelas ‘Prep’, Kelas ‘Stayback’, dan pelbagai progam Cakna Akademik  yang lain sama ada telah dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, Insya Allah SEMENKA akan melonjakkan prestasi akademik  di samping melahirkan modal insan yang  berwawasan, beretika, seterusnya setia kepada bangsa dan negara.

 

h.  Aktiviti Kokurikulum Yang Lebih Berkesan :

 

 Perhimpunan dan Aktiviti Kokurikulum yang dimasukkan ke dalam slot        Program Jalinan Kasih  pada mulanya (2007) diadakan  pada hari Selasa namun telah diubah  kepada hari Rabu (2008). Hari Rabu diisytiharkan sebagai Hari Kokurikulum untuk tahun 2008. Hasil atau kesannya yang nyata ialah penglibatan pelajar secara menyeluruh 100%. Aktiviti Kelab dan Persatuan serta Pasukan Pakaian Seragam dapat dijalankan dengan baik. Semua pelajar terlibat dalam merancang dan melaksanakan aktiviti dengan lebih sempurna dan berkesan. Ramai pelajar dihantar untuk menyertai kem-kem dan kursus Kepimpinan Pelajar dan  Pasukan Pakaian Seragam.               Pelajar didedahkan dengan aktiviti lasak seperti berkayak dan aktiviti Sukan          Elit – Bowling Tempin. Kelab ICT telah mencipta nama dalam tahun 2006 setelah mendapat tempat kedua di peringkat kebangsaan dalam pertandingan Celcom Exchange Xbassadors. Program ini melibatkan pelajar tingkatan 2 dan 4. Mereka telah merancang dan membangunkan sebuah ‘Pasar dalam Taman’ di bandar Kadok  dengan pembiayaan dan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan juga bukan kerajaan. Projek yang memakan masa 3 bulan nyata telah memberikan  pengalaman dan cabaran yang menguji keberanian ,keterampilan serta kecekapan pelajar-pelajar yang terlibat iaitu seramai 30 orang. Sebahagian daripada kumpulan pelajar itu masih berada di tingkatan 4.

 

        Pada tahun 2007 penubuhan Kelab Akuakultur telah direalisasikan. Kelab ini adalah sebuah  kelab yang dianggotai oleh 20 orang pelajar yang miskin dan lemah dalam bidang akademik. Projek  ini mendapat bantuan pihak KADA (Kemubu Agricultural Development Authority) dari segi kepakaran dan sumber anak ikan.

 

        Kelab Fertigasi juga ditubuhkan iaitu untuk memberikan kemahiran kepada 20 orang pelajar yang juga miskin dan lemah  dalam bidang akademik tentang cara-cara bercucuk tanam dengan menggunakan kaedah Fertigasi. Kedua-dua kelab ini dibiayai oleh Tabung Kebajikan Pembangunan Pelajar. Kelab ini juga mendapat kerjasama daripada pihak Lembaga Pertubuhan Peladang Kelantan. Pelajar-pelajar yang tidak mampu untuk cemerlang dalam bidang akademik perlu dibantu, diberi sesuatu kemahiran agar dapat mencari rezeki yang halal selepas tamat persekolahan..

    

      Program-program ini telah menarik minat para pelajar untuk datang ke sekolah. Hal ini juga dapat mengukuhkan lagi semua nilai yang disemai dan ditanam melalui Program Jalinan Kasih. Penglibatan pelajar dalam bidang sukan juga dapat melahirkan insan yang mempunyai daya tahan, semangat berpasukan, setia,  daya saing dan nilai-nilai   murni yang diperoleh di padang permainan. Walaupun pencapaian mereka  tidak sampai ke tahap yang tertinggi namun semangat dan nilai-nila positif yang sentiasa ditanam dan dikukuhkan, pastinya lambat-laun akan memberikan dorongan yang cukup bagi melonjakkan  prestasi  pencapaian  pelajar.

   i.     Sekolah Mempunyai ‘Pulling Factor’ /Tarikan  Masyarakat Setempat :

 

      Kejayaan Program Jalinan Kasih dalam masa sesingkat ini merupakan hasil kegigihan dan keikhlasan pihak sekolah untuk memberi yang terbaik kepada      anak-anak pelajar yang memerlukan bantuan untuk dibangunkan, dilonjakkan demi masa depan mereka. Dengan adanya permuafakatan dan hubungan yang sangat baik sesama ibu bapa terutama pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang sangat rendah dan berpotensi untuk menimbulkan masalah disiplin di sekolah, maka banyak masalah dapat diselesaikan. Ibu bapa tidak segan untuk datang berbincang mengenai masalah anak-anak. Konsep ingin membantu  telah menarik perhatian ramai ibu bapa  untuk menukarkan anak mereka ke sekolah  ini. Sekolah tetap menerima  setiap pelajar yang memohon untuk belajar di SEMENKA walaupun prestasi peperiksaan sebelumnya sekadar gred E dan Tak Hadir  dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Kami percaya pelajar perlu  diberi peluang untuk belajar dan mereka  akan dibentuk dan dibangunkan seperti pelajar-pelajar lain di SEMENKA.

 Kesimpulan

        Oleh sebab modal insan merupakan aset/ harta yang boleh disuntik nilai tambah, dipertingkatkan nilai inteleknya serta diperkayakan budayanya agar dapat meningkatkan bina upaya generasi muda Malaysia ke arah melahirkan guna tenaga yang terlatih dan berdaya saing, sepadan dan mencukupi dengan keperluan negara pada tahun 2020,  Insya Allah modal insan yang bertapak di SEMENKA akan dididik dan dicemerlangkan. Bagi golongan pelajar yang tidak dapat dicemerlangkan dari segi akademik mereka akan menamatkan persekolahan berbekalkan ilmu dan kemahiran serta nilai-nilai murni  yang  akan membantu mereka melalui rencah kehidupan agar menjadi insan yang berguna dan tidak mudah kecundang ke arah unsur-unsur negatif. InsyaAllah.

Wassallam.